Press Release

KAJANG, 1 Januari 2017: Seramai lebih 1,200 orang penduduk Sungai Merab, Kajang, telah menyambut tahun baru 2017 dengan menghadiri Majlis Malam Silaturrahim bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil Y.B. Tuan Shahrum Mohd Sharif semalam.

Bagi memeriahkan lagi majlis keramaian tersebut adalah acara cabutan bertuah, di mana pemenang hadiah utama telah menerima sebuah motorsikal Demak sumbangan Protasco Berhad melalui anak syarikatnya Roadcare Sdn Bhd.

Roadcare, sebuah syarikat penyelenggaraan jalanraya, telah menyumbang sebanyak RM5,000 untuk tajaan hadiah utama ini.

“Kami amat teruja kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam kemeriahan Majlis Malam Silaturrahim ini dan menyambut tahun baru 2017 bersama komuniti Sungai Merab,” kata Dato’ Ir Jamal, Ketua Pegawai Operasi Roadcare Sdn Bhd.

“Dengan adanya Malam Silaturrahim sebegini, ia bukan sahaja memberikan peluang kepada penduduk Sungai Merab mengeratkan perhubungan bersama malahan mengenali kami yang menyediakan khidmat dan servis di komuniti ini,” tambah beliau.

Majlis keramaian tersebut telah diadakan di Dewan Orang Ramai Dato' Haji Mohamad Sharif bin Jajang, Sg Merab, Kajang, dari pukul 8 malam sampai detik pengakhiran tahun 2016.

Dalam bulan Disember yang sama, Protasco dan Roadcare telah menyumbang RM21,450 bagi menjayakan tiga acara di sekitar bandar Dengkil termasuklah Majlis Malam Silaturrahim ini, sebahagian daripada sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Protasco dan Roadcare telah menganjurkan Program Keselamatan & Tukar Minyak Hitam Motosikal bersama anak muda kawasan DUN Dengkil pada 25 Disember di mana seramai 200 peserta yang hadir telah menerima minyak hitam hasil sumbangan mereka. Usaha diteruskan lagi dengan Program ‘Back To School’ bersama 200 orang anak-anak golongan kurang berkemampuan yang dianjurkan juga hasil usaha sama bersama ADUN Dengkil.